Malaysia perlu kepakaran proses REE bukan radioaktif

Malaysia perlu kepakaran proses REE bukan radioaktif

REE
SYAHIR Rida (kiri) bertukar dokumen dengan Maman Kartaman Ajiriyanto (kanan) selepas menandatangani perjanjian kerjasama yang turut disaksikan Nik Abdul Mubin Nik Mahmood (tiga, kiri) pada Majlis Tandatangan Perjanjian Kerjasama UTP dan BRIN di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan kepakaran dalam pemprosesan unsur nadir bumi (REE) secara efisien serta tidak berbahaya bagi membolehkan rakyat di negara ini berasa yakin dan selamat dengan sumber ekonomi itu.

Ini kerana REE amat penting kepada penjanaan ekonomi moden yang menjadi kunci utama dalam pembangunan produk seperti telefon pintar, komputer, bateri, kereta elektrik (EV) serta kincir angin.

Sumber bagi penghasilan produk sedemikian melibatkan REE bukan radioaktif yang terdapat di negara ini, namun proses mengoksida nadir bumi adalah kritikal kerana ia melibatkan ekstrak sebatian nadir bumi dari sumber asalnya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Greensnow Sdn. Bhd. Datuk Nik Abdul Mubin Nik Mahmood berkata, seiring perkembangan teknologi dan peningkatan permintaan terhadap tenaga boleh diperbaharui, REE amat penting bagi penghasilan produk dalam memenuhi keperluannya.

“Unsur nadir bumi sentiasa wujud dalam bentuk sebatian apabila diekstrak daripada sumber asalnya. Namun, kerana unsur-unsur itu sangat serupa dari segi kimia, proses untuk memisahkan mereka menjadi oksida tersendiri agak mencabar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, bagi memenuhi peningkatan permintaan dalam perkembangan teknologi, pelan tindakan perlu diwujudkan bagi memproses REE bukan radioaktif dengan memulakan pembinaan kemudahan pemprosesan bahan tersebut di Malaysia.

“Greensnow kini menjalankan penyelidikan pengekstrakan REE bukan radioaktif daripada simpanan tanah liat penjerapan ion di Malaysia dengan kerjasama Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang turut memberi tumpuan kepada sektor pertengahan industri nadir bumi bagi membangunkan teknologi pemprosesan terkini untuk pemisahan unsur nadir bumi bukan radioaktif.

“Syarikat bersama UTP juga bar-baru ini mengadakan lawatan ke Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN) di Jakarta, Indonesia yang mana UTP menandatangani perjanjian kerjasama dengan BRIN bagi penyelidikan pembangunan teknologi mampan bagi pemisahan REE bukan radioaktif,” ujarnya.

Katanya lagi, Greensnow dan UTP memberi tumpuan kepada industri REE di sektor huluan dan pertengahan, dan akan menubuhkan loji perintis bagi pemprosesan unsur bukan radioaktif di Malaysia dengan kerjasama UTP, Agensi Nuklear Malaysia, dan BRIN Indonesia.

Dalam pada itu, Pengarah Institut Tenaga dan Sumber Lestari (ISER) UTP, Prof. Madya Dr. Syahir Rida memberitahu, penyelidikan dalam bidang itu amat penting dan kerjasama dengan rakan kongsi tempatan serta antarabangsa diperlukan untuk membangunkan teknologi pemprosesan nadir bumi yang mampan dan cekap.

“Kita tahu BRIN mencapai kejayaan besar dalam teknologi pemprosesan REE. Oleh itu, keperluan untuk menubuhkan kemudahan pemprosesan nadir bumi yang canggih di Malaysia adalah amat mendesak,” jelasnya.

Sementara Ketua Pusat Penyelidikan Teknologi Bahan Nuklear dan Sisa Radioaktif BRIN, Dr. Maman Kartaman Ajiriyanto pula memaklumkan, BRIN mempunyai pengalaman luas dalam pemprosesan REE di Indonesia selain penubuhan konsortiumnya pada 2015.

“BRIN mencapai kejayaan besar dalam teknologi pemprosesan REE. Oleh itu, keperluan untuk menubuhkan kemudahan pemprosesan nadir bumi yang canggih di Malaysia menjadi keutamaannya.

“BRIN mampu memproses unsur nadir bumi dengan kapasiti sekitar 50 kilogram setiap kelompok. Dari segi penyelidikan, kapasiti itu agak besar dan kami mencapai kejayaan yang signifikan dalam pemisahan beberapa unsur nadir bumi dengan ketulenan melebihi 90 peratus,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN