KUALA LUMPUR: Hubungan diplomatik Malaysia-China yang memasuki usia 50 tahun terus diperkukuh melalui kerjasama ekonomi dan pembangunan infrastruktur penting, khususnya dalam meningkatkan kesalinghubungan rel di rantau ASEAN.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata, usaha ini sejajar dengan dasar pengangkutan negara yang mensasarkan pengangkutan lebih mampan dan efisien.
Menurut beliau, Malaysia memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan jaringan rel ASEAN yang menghubungkan negara-negara serantau sehingga ke China.
“Dalam perbincangan bersama negara jiran seperti Thailand dan Laos, Malaysia memberi tumpuan kepada penyelesaian isu prosedur kastam di sempadan yang masih menjadi cabaran utama bagi pergerakan barang melalui rel,” katanya dalam sidang akhabr sempena Persidangan Malaysia-China 2024.
Beliau menambah, kesalinghubungan rel yang lebih baik bukan sahaja mempercepatkan perdagangan di rantau ini tetapi juga menjadi pelengkap kepada pengangkutan maritim yang kini menguasai 95 peratus perdagangan ASEAN.
“Rangkaian rel Pan-Asia sudah ada, tetapi belum dapat beroperasi dalam skala besar. Malaysia komited untuk memajukan sistem rel sebagai pengangkutan alternatif yang efisien,” jelasnya.
Anthony turut menekankan kepentingan projek mega seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka menjadi pemangkin utama kepada pembangunan ekonomi negara.
“Apabila ECRL siap, kita bukan sahaja mahu rakyat menggunakan perkhidmatan ini, tetapi kerajaan juga berhasrat memindahkan pengangkutan barangan dari jalan raya ke landasan rel. Langkah ini dapat mengurangkan kesesakan di lebuh raya serta kos logistik,” katanya.
Selain ECRL, beliau memaklumkan bahawa rangkaian rel berkembar yang sedang dibangunkan turut akan meningkatkan kecekapan pengangkutan kargo domestik dan antarabangsa.
“Kerajaan akan memastikan dasar dan inisiatif yang ada dapat dimanfaatkan sepenuhnya agar sistem pengangkutan rel kita menjadi lebih komprehensif,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Anthony Loke turut memuji hubungan erat antara kepimpinan tertinggi Malaysia dan China yang menyumbang kepada kerjasama ekonomi yang lebih kukuh.
“Peningkatan jumlah pelancong China ke Malaysia tahun ini membuktikan keyakinan terhadap hubungan dua hala ini. Kita berharap ia akan terus memberi manfaat kepada rakyat dengan membuka lebih banyak peluang ekonomi dan pelaburan,” ujarnya.
Persidangan Malaysia-China 2024 sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia China menjadi medan penting untuk kedua-dua negara merangka strategi ke hadapan dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan infrastruktur dan kesalinghubungan rantau ASEAN.