SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) meraikan lebih 2,000 pelajar asnaf dibantu badan baitulmal itu yang memperoleh keputusan 5A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sejak 2020 hingga 2023.
Malah, LZS turut menyaksikan seramai 7,160 orang siswa tajaannya melanjutkan pengajian ke insitut pengajian tinggi (IPT) dan institut latihan kemahiran (ILK), malah bagi tempoh sama juga seramai 1,245 pelajar ditempatkan di sekolah berasrama penuh integrasi (SBPI) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, LZS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini, berkata, bilangan mahasiswa IPT tajaan LZS bagi tahun ini adalah seramai 3,141 orang.
“Bagi tempoh tersebut juga, secara purata, Program Pembangunan iKerjaya (LZS) membantu lebih 200 asnaf setiap tahun mendapat pekerjaan. 4,000 pelajar mualaf yang aktif menghadiri Kelas Fardhu Ain (KFAM) yang dikendalikan oleh Guru Pembimbing Asnaf Mualaf (GPAM) di seluruh Selangor.
“Seramai 5,406 orang pelajar mengikut program PROSAZ yang bermula Jun hingga November lalu melalui 60 buah sekolah terlibat dan banyak lagi,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang (MAAC) 2024, hari ini.
Dalam majlis tersebut, seramai 39 asnaf cemerlang diraikan menerusi lima kategori anugerah iaitu usahawan, pendidikan, mualaf dan kemahiran serta anugerah khas.
Mohd. Sabirin yang kemudian ditemui selepas majlis tersebut memberitahu, pengiktirafan itu merupakan langkah proaktif dalam pembangunan asnaf yang bukan sahaja tertumpu kepada usaha kelangsungan untuk bantuan asasi sepperti tempat tinggal, makan dan sebagainya.
“LZS juga menitikberatkan pembangunan asnaf agar berada di status lebih baik pada masa akan datang. Pembangunan asnaf sentiasa mencari ruang dan peluang dalam meningkatkan prestasi golongan itu sama ada bahagian pendidikan, keusahawanan dan kerjaya.
“LZS mengeluarkan 4,000 asnaf daripada status kemiskinan namun daripada sebahagian daripada kategori pembangunan usahawan, kerjaya, kemahiran dan peningkatan pendapatan sendiri dari tahun ke tahun gaji mereka naik. Kita menyasarkan 15,000 asnaf dikeluarkan bagi tempoh tiga tahun iaitu 2022 hingga 2025,” jelasnya. – UTUSAN