KOTA BHARU: Seorang pembantu kedai runcit mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merompak dua orang wanita menggunakan sebilah pisau di premis berasingan di Pasir Puteh dekat sini pada November lalu dan awal bulan ini.
Tertuduh, Zulhairie Zulkifli, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merompak beg duit milik seorang wanita berusia 18 tahun yang berisi wang tunai sebanyak RM120.
Perbuatan itu dilakukan di dalam sebuah kedai runcit di Sungai Petai, Pasir Puteh dekat sini kira-kira pukul 3.29 petang pada 2 Disember lalu.
Bagi pertuduhan kedua, Zulhairie dituduh merompak seorang wanita berusia 26 tahun menggunakan sebilah pisau sehingga mendatangkan kerugian sebanyak RM400 kepada mangsa.
Kesalahan itu dilakukan di kaunter pembayaran sebuah kedai runcit di Pasir Puteh dekat sini kira-kira pukul 6.45 petang pada 6 November lalu.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.
Mahkamah kemudian menetapkan 19 Januari tahun depan untuk sebutan fakta kes dan prosiding jatuh hukum.-UTUSAN