TANAH MERAH: Hasrat seorang lelaki untuk menikmati upah membawa pokok orkid seludup bernilai RM580,000 tidak kesampaian selepas lori yang dipandunya ditahan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) semasa melalui sekatan jalan raya (SJR) Lalang Pepuyu di sini semalam.
Lelaki berusia 29 tahun itu ditahan pada pukul 6.30 petang menerusi Op Taring Wawasan Kelantan selepas dikesan memandu lori dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan membawa kepada penemuan 290 pelbagai jenis anak pokok orkid yang dipercayai diseludup dari Thailand.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati suspek gagal mengemukan dokumen sah berkaitan dengan pokok orkid tersebut.
“Suspek dipercayai bertindak sebagai penghantar untuk menyeludup tumbuhan tersebut ke pasaran tempatan.
“Anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM580,000,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167).
Katanya, suspek dan barang rampasan dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) Taman Bakti untuk tindakan selanjutnya.-UTUSAN