PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki selepas didakwa membaling batu ke arah cermin kereta Honda City di tepi Jalan Sri Petaling, dekat sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pemilik kereta berkenaan yang merupakan lelaki warga emas berusia 68 tahun meletakkan kenderaannya pada pukul 2 petang untuk ke tempat kerja.
Menurutnya, pada pukul 5 petang, dia mendapati seluruh cermin keretanya dipecahkan.
“Saksi awam di tempat kejadian melihat suspek membaling batu ke arah cermin keretanya dan terus melarikan diri.
“Bertindak atas maklumat, pihak polis dapat mengesan dan menangkap suspek di sekitar kawasan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ku Mashariman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam hingga 3 Disember ini.
“Pihak polis memohon kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya.
Beliau berkata, sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh disalurkan kepada Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Bilik Gerakan IPD Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis berhampiran.- UTUSAN