SEREMBAN: Sebanyak 33 buah premis perniagaan di sekitar Nilai di sini diambil tindakan kompaun dan sita atas pelbagai kesalahan menerusi operasi penguatkuasaan oleh pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, antara kesalahan dilakukan adalah meletakan barangan di tempat awam, menjalankan perniagaan tanpa lesen serta melanggar syarat lesen iaitu warga asing bekerja di kaunter serta tiada pekerja warganegara.
Jelasnya, kompaun turut dikenakan dibawah Undang-Undang Kecil Iklan 1980 iaitu mempamerkan iklan perniagaan tanpa lesen.
“Selain itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga telah mengesan tiga premis melakukan kesalahan dengan satu kompaun di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dan dua kes sitaan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai operasi bersepadu berkenaan di Taman Semarak di sini.
Arul Kumar berkata, pelaksanaan operasi berkenaan sudah tentu bagi memastikan pemilik premis perniagaan mengikut peraturan syarat dinyatakan sebelum ini.
“Bagaimanapun setakat ini daripada pemeriksaan mendapati masih ada pemilik permis perniagaan bersikap degil dan berani melanggar syarat. Ada di kaunter restoran telah dijaga warga asing malah nisbah pekerja warganegara sebanyak 30 peratus juga tidak dipatuhi.
“Bagaimanapun operasi bersepadu sebegini akan terus dilakukan kerana menjadi objektif utama kita supaya premis perniagaan tidak dikawal warga asing,”katanya.-UTUSAN.