NIBONG TEBAL: Pembangunan Kuala Haji Ibrahim di Sungai Acheh sebagai satu lagi projek ekopelancongan desa mampu menjadikan lokasi itu sebagai antara destinasi pelancongan yang mesti dilawati di Pulau Pinang sepanjang 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar negeri, Datuk Rashidi Zinol berkata, pembangunan kawasan itu juga secara tidak langsung boleh membantu meningkatkan sosioekonomi penduduk tempatan.
“Justeru, apabila dibangunkan projek ekopelancongan di sini, maka, ia akan membawa limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat,” katanya pada Majlis Peluncuran Projek Ekopelancongan dan Pembangunan Sosioekonomi Bumiputera di sini, semalam.
Hadir sama Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP), Tan Sri Khalid Ramli serta Pensyarah Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Shida Irwana Omar yang akan mengetuai projek pembangunan tersebut selepas ini.
Pada majlis tersebut, Khalid turut menyumbangkan sebuah bot dan 200 unit khemah penjaja sebagai tanda persetujuan untuk memulakan projek ekopelancongan desa berkenaan.
Khalid berkata, cadangan Rashidi untuk mewujudkan projek ekopelancongan di situ adalah selaras dengan Rangka Kerja Transformasi Pelancongan Mesra Muslim yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pulau Pinang pada 5 Ogos lalu.
“Usaha untuk mewujudkan projek ekopelancongan (di Kuala Haji Ibrahim) ini adalah buah fikiran Datuk Rashidi yang pernah beliau bawa (bentang) kepada Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang sebelum ini.
“Saya lihat tempat ini juga mempunyai kelebihan dari segi khazanah alam semula jadi yang baik. Ada juga kawasan paya bakau yang boleh dimanfaatkan dan sebagainya. Jadi, saya bersetuju,” ujarnya. – UTUSAN