PUTRAJAYA: Dua pekerja warga Indonesia maut manakala seorang lagi parah selepas terjatuh daripada kren ketika mengecat bangunan di sebuah kuarters di Presint 8 di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi itu, ketiga-tiga mangsa dikatakan berada dalam ‘bucket’ kren itu untuk mengecat bangunan sebelum terjatuh daripada ketinggian aras tujuh bangunan berkenaan, selepas kren itu terbalik.
Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed ketika dihubungi berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Sukawan Wilkhan, 54, dan Danianto Yusak, 53, manakala yang cedera parah dikenali sebagai Yasin, 56.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, insiden berpunca apabila jek hidraulik jentera terbenam dalam tanah dan menyebabkan kren hilang keseimbangan lalu terbalik.
“Ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa berada di atas bucket kren untuk kerja mengecat bangunan.
“Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Putrajaya bagi rawatan serta bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bomba Wilayah Persekutuan Putrajaya Abdul Manaf Che Isa ketika dihubungi berkata, seramai 15 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Presint 7 dan 14 telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 9.30 pagi.
“Anggota membantu Kementerian Kesihatan dan polis mengangkat mangsa untuk dibawa masuk ke dalam ambulans dan kenderaan polis.
“Anggota turut melakukan kerja-kerja pembersihan tumpahan cat di lokasi kejadian dengan menggunakan satu aliran air daripada tangki jentera sehingga selesai,” katanya.
Katanya, seorang anggotanya yang berada di luar penugasan turut membantu sewaktu awal kejadian, dengan memberikan bantuan kecemasan menerusi Pernafasan Resutasi Kardiopulmonari (CPR).
“Siasatan kes berkenaan diserahkan kepada pihak berkuasa,” katanya menambah operasi di tempat kejadian tamat pada 10.57 pagi. – UTUSAN