KULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri ini melupuskan sejumlah barang kes yang dianggarkan bernilai RM2.15 juta sepanjang tahun ini.
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pelupusan pelbagai barang kes itu melibatkan 152 kertas siasatan yang sudah diselesaikan.
“Sepanjang tahun ini juga, KPDN Johor sudah merekodkan sebanyak 1,287 kes dengan jumlah nilai sitaan berjumlah RM29.7 juta.
“Dalam tempoh yang sama, tindakan penguatkuasaan yang dilakukan merekodkan hasil kutipan kompaun dan denda sebanyak RM1.33 juta,” katanya ketika ditemui selepas Program Pelupusan Ekshibit Perdana di Kompleks Penyimpanan Ekshibit Senai, di sini semalam.
Terdahulu, pihak KPDN negeri melupuskan pelbagai barangan kes yang dianggarkan bernilai RM113,652 daripada 23 kes yang sudah selesai bagi tahun 2021 hingga 2024.
Kesemua barangan tersebut dirampas kerana kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Cap Dagangan 2019, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Kawalan Bekalan 1964 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.
“Aktiviti pelupusan KPDN Johor ini merupakan yang terakhir bagi tahun ini melibatkan 45,374 unit barangan pelbagai jenis, antaranya pakaian, aksesori telefon, jam tangan, beg tangan, produk makanan, kasut, topi keledar motosikal dan baju hujan,” katanya.
Beliau menasihatkan para peniaga, khususnya di negeri ini supaya mematuhi segala undang-undang perniagaan, termasuk tidak menjual barangan tiruan.