KUANTAN: KMDI Harta Berhad mensasarkan pengumpulan dana sehingga RM200 juta melalui penerbitan saham keutamaan dalam masa terdekat.
Sasaran pengumpulan dana berjumlah RM200 juta tersebut akan dilakukan melalui penerbitan saham keutamaan boleh tebus kepada umum.
Pengarah Komunikasi Korporat Kumpulan KMDI, Ahmad Mazhar Abdul Aziz berkata, KMDI Harta yakin penerbitan saham keutamaan berkenaan dapat mencapai sasaran sebelum suku ketiga 2025.
“Pada masa ini, KMDI Harta adalah sebuah syarikat yang terlibat dengan pembinaan dan pembangunan hartanah serta pembangunan infrastruktur berimpak tinggi. Selaras dengan kelulusan pindaan perlembagaan syarikat KMDI Harta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) membolehkan KMDI Harta Berhad menawarkan saham keutamaan kepada yang berminat.
“KMDI Harta juga telah mendepositkan Memorandum Maklumat kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mengikut pematuhan Seksyen 229 dan 230 Akta Pemasaran Modal Dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) yang membenarkan KMDI Harta menawarkan saham keutamaan boleh tebus kepada pelabur yang layak bagi memperluas modal sedia ada serta merancang pelaburan strategik dalam merangka pertumbuhan dan pembangunan perniagaan.
“Memorandum Maklumat yang dikeluarkan oleh KMDI Harta bertujuan memberikan penerangan serta informasi tentang pelaburan, strategi pelaburan terkini, serta potensi pulangan yang menarik kepada individu atau korporat yang berminat untuk bersama dengan KMDI Harta dalam perniagaan pembinaan dan pembangunan hartanah. KMDI akan mematuhi segala tata kelola yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” katanya di sini hari ini.
Ahmad Mazhar berkata, syarikat itu yakin perniagaan pembinaan dan pembangunan hartanah adalah sebuah perniagaan yang mampu memberikan pulangan tanpa risiko kepada pelabur untuk menikmati hasil pelaburan yang dilakukan
Beliau berkata, buat masa sekarang nilai pembangunan kasar (GDV)projek KMDI Harta berjumlah RM400 juta.
“KMDI menggunakan khidmat CL Finance Advisor sebagai penasihat korporat kewangan bagi memastikan perjalanan pelaburan yang sistematik dan dinamik. KMDI Harta optimis untuk bersama-sama membuka dan mencari peluang untuk dikongsikan bersama individu atau korporat yang berminat dalam perniagaan pembinaan dan pembangunan hartanah.
“KMDI Harta berazam untuk penyenaraian di Bursa Malaysia menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO) dan sukuk dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN