Klang terima Datuk Bandar baharu - Utusan Malaysia

Klang terima Datuk Bandar baharu

Datuk Bandar Klang
ABD. Hamid Hussain mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar Klang yang baharu dekat Dewan Raja Mahadi, di Bangunan MBDK, Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menerima Datuk Bandar baharu, Datuk Abd. Hamid Hussain yang mengangkat sumpah jawatan hari ini, menggantikan Datin Noraini Roslan yang bersara pada 20 November lalu.

Abd. Hamid dilantik sebagai Datuk Bandar baharu selepas menerima watikah pelantikan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) pada 28 November.

Beliau ketika ditemui pemberita berkata, isu banjir menjadi fokus utama dalam tempoh terdekat untuk dikenalpasti punca termasuk sebanyak 77 kawasan di dalam daerah Klang yang dikenal pasti berisiko.

“Kita lihat sekarang ini musim banjir, kita cuba tangani dan bagaimana keupayaan kita, kedua kita lihat dari segi infrastruktur, cuma pada hujung tahun ini, saya tidak pasti peruntukan yang ada untuk selesaikan isu infrastruktur,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Jawatan Datuk Bandar MBDK, hari ini.

Tambahnya, penyelesaian isu banjir turut melibatkan kolam-kolam takungan serta saliran air yang dikenal pasti perlu diselenggara bagi mengelakkan kejadian tersebut daripada berlaku.

“Saya dimaklum ada kolam takungan di bawah tanggungjawab MBDK, JPS atau pemaju yang belum diserahkan. Jadi, kita akan cuba selaras bagaimana untuk pastikan kalau katakan kolam takungan itu punca kepada banjir, kita kena atasi dengan segera supaya banjir tidak berulang.

“Kita cuba susun strategi bagaimana untuk kita atasi sama ada dengan peruntukan MBDK ataupun kerajaan negeri, JPS atau kita minta pemaju yang bertanggungjawab untuk cepat menyelesaikan kolam takungan tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, Abd. Hamid turut memberitahu persediaan MBDK bagi menyambut Hari Keputeraan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11 Disember ini dengan memastikan menyelaras tindakan-tindakan yang sudah dirancang.

“Saya kira sebelum saya sampai, pihak MBDK sudah pun membuat tindakan-tindakan untuk pastikan persiapan semasa sambutan hari tersebut dapat berjalan dengan baik, kita hias bandar dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Abd. Hamid, 57, sebelum ini merupakan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPS) dan menjalankan tugas tersebut bermula September 2020.

Beliau sebelum itu pernah menjawat jawatan Setiausaha di MPS pada 1997 hingga 2002, kemudian dilantik sebagai pemangku Yang Dipertua dan seterusnya Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya