KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Kesihatan (KKM) mempertingkat kualiti sistem kesihatan sedia ada termasuk dari segi infrastruktur dan memperkukuhkan kemahiran petugas kesihatan.
Perdana Menteri berkata, ia susulan peningkatan peruntukan Belanjawan 2025 kepada KKM sebanyak RM45 billion yang perlu diuruskan secara telus dan efisyen.
“Peruntukan itu bakal mempertingkat kualiti KKM termasuk dari segi infrastruktur, peningkatan kemahiran (upskilling) petugas dan integrasi digital yang lebih maju termasuk kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT) dan teknologi rangkaian 5G.
“Semua ini mesti dilaksanakan dengan efisyen dan telus,” katanya ketika merasmikan majlis penutup Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia komited untuk mengukuhkan kedudukan negara sebagai hub sistem pembuatan perubatan berteknologi tinggi dan inovasi penjagaan kesihatan di rantau ASEAN menjelang tahun hadapan.
Beliau berkata, negara juga meningkatkan Perjanjian Pengiktirafan Bersama (MRA) berkaitan kesihatan selaras pelantikan sebagai pengerusi ASEAN pada 2025.
“Aspek kesihatan menjadi satu daripada tonggak penting bukan sahaja di bawah ASEAN malah menjadi satu daripada strategi di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
“Langkah ini bertujuan untuk memperkukuh penjagaan pesakit dan memperhebat sistem kesihatan di seluruh rantau ASEAN, yang melibatkan 680 juta penduduk,” katanya.
Tambah beliau, tumpuan utama sebagai pengerusi ASEAN tahun depan adalah mewujudkan grid tenaga ASEAN, manakala yang kedua (tumpuan) digitalisasi dan penjagaan kesihatan.
“Ia dikenali sebagai tonggak pertumbuhan mampan bukan sahaja di bawah strategi ASEAN tetapi menjadi fokus di bawah NIMP 2030,” katanya. – UTUSAN