KULAI: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menyelamatkan dua kanak-kanak warganegara Filipina dalam operasi Ops Mahir di sebuah kilang pembuatan barangan di Senai, kelmarin.
Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, dalam operasi pada pukul 6.54 petang itu, mangsa kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia 12 dan 13 tahun berjaya diselamatkan.
Katanya, tindakan penguatkuasaan itu diambil ekoran maklumat yang diterima berkenaan sebuah kilang menggaji pekerja asing disyaki tidak memiliki dokumen yang sah dan penyalahgunaan pas atau permit.
“Hasil pemeriksaan dokumen perjalanan dan dokumen pengenalan diri terhadap 292 pekerja warga asing dan warga tempatan, mengesan dua kanak-kanak di bawah umur didapati bekerja di premis tersebut. Siasatan awal mendapati mereka telah diambil bekerja sejak tiga bulan lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi tersebut dijalankan oleh sepasukan pegawai daripada Unit Tindakan, Bahagian Penguatkuasa, 20 Pegawai Pejabat Bangunan Sultan Iskandar serta empat pegawai daripada Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Johor.
Mohd. Rusdi berkata, kedua-dua kanak-kanak itu dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Pejabat Imigresen Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Setia Tropika, di sini untuk tindakan lanjut.
Seorang pegawai sumber manusia di kilang tersebut berusia 44 tahun turut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
“JIM Negeri Johor akan terus komited membanteras sindiket penyeludupan manusia dalam menguatkuasakan undang-undang demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
“Tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang melakukan kesalahan Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya. – UTUSAN