KUANTAN: Bukan sahaja UMNO malah lain-lain parti politik pun menuntut setiap ahli dan barisan kepemimpinannya supaya memberikan kesetiaan penuh serta tidak berbelah bahagi kerana ia merupakan sesuatu yang cukup mahal untuk diperolehi.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Kamil Ibrahim berkata, kesetiaan akan membentuk kepimpinan dan rakyat yakin dengan setiap langkah dilakukan.
“Jangan gadai kesetiaan kamu bila berjuang dalam parti. Saya bersetuju dengan ketua kami, Datuk Dr. Akmal Saleh agar dikaji semula hubungan dalam kerajaan Perpaduan. Tiada guna bekerjasama jika ada muslihat dan tikam belakang antara gabungan parti-parti dalam kerajaan Perpaduan.
“Saya juga menyokong kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail agar menghormati parti komponen dalam kerajaan Perpaduan. Jika berterusan, keretakan akan berlaku dan menjejaskan kestabilan negara.
“Dan saya juga menyokong kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan mana-mana ahli dan kepimpinan mesti mengutamakan kepentingan parti daripada kepentingan peribadi. Hentikan drama politik yang merugikan kita semua,” katanya dalam kenyataan di Laman Facebooknya di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz didakwa bakal meninggalkan partti berkenaan untuk menyertai PKR.
Selain itu, timbul spekulasi bahawa Tengku Zafrul akan menggantikan tempat Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan sebagai mengesahkan bahawa terdapat perbincangan awal berhubung penyertaan Tengku Zafrul dalam PKR.
Mengulas lanjut, Kamil berkata, beliau tidak hairan jika ada parti politik lain cuba ‘curi’ pemimpin UMNO untuk masuk ke dalam parti mereka.
“Ini kerana mereka tahu parti kita sentiasa melahirkan pemimpin yang bekerja untuk rakyat. Salah satunya bila kita membuat keputusan, ia selari kehendak. Kita lebih mendengar apa yang disuarakan oleh rakyat, memahami isu yang berbangkit malah kita juga ada pendirian sendiri.
“Kita boleh kira sendiri berapa ramai pemimpin daripada UMNO keluar landasan dan khianat kepada parti. Parti ini yang mengajar mereka merangkak hingga dapat berjalan sendiri tapi akhirnya mereka sanggup buang segala kesetiaan demi kepentingan peribadi.
“Kena ingat, kesetiaan itu yang akan membentuk kepimpinan dan rakyat dapat meyakini dengan setiap langkah dilakukan. Jangan gadai kesetiaan kamu bila berjuang dalam parti,” katanya. – UTUSAN