PETALING JAYA: Kesediaan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk memulakan prosiding bagi meneliti dan memanggil semua pihak yang terlibat dalam urus niaga penjualan saham Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) kepada pihak luar adalah langkah tepat.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, prosiding PAC berupaya untuk memperolehi keterangan dan maklumat terperinci daripada setiap individu terlibat dalam membuat keputusan berkaitan penjualan saham MAHB kepada pihak luar.
Katanya, prosiding itu langkah tepat susulan pendedahan laporan Independent Advice Circular (IAC) bertarikh 20 Disember berkaitan penjualan saham MAHB yang menunjukkan bahawa semua lima Ahli Lembaga Pengarah Bebas Bukan Eksekutif tidak bersetuju dengan penjualan saham tersebut.
Bahkan, mereka mengesyorkan pemegang saham menolak tawaran pembelian saham itu.
“MAHB merupakan satu daripada aset strategik negara yang utama. Ia amat penting untuk dikekalkan berstatus syarikat awam yang disenaraikan di Bursa Malaysia bagi memastikan ketelusan dan tatakelola yang baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamzah yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut berkongsikan rekod bilangan penumpang dikendalikan MAHB Group sehingga September lalu yang mencecah 101.2 juta penumpang.
Katanya, pendapatan MAHB Group juga meningkat 20.3 peratus kepada RM4.26 billion sehingga September 2024 berbanding tempoh yang sama bagi tahun 2023.
Tambahnya, keuntungan selepas cukai juga melonjak sebanyak 137 peratus kepada RM606.3 juta sehingga September 2024 berbanding September 2023.
“Oleh itu, penawaran dibuat amat tidak adil dan tidak mencerminkan potensi serta jaringan besar 39 lapangan terbang di bawah MAHB.
“Ia juga tidak mengiktiraf momentum pertumbuhan yang dibina MAHB melalui strategi dan hala tuju yang jelas,” katanya.
Okeh demikian, Hamzah berkata, Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menentang keras penjualan saham MAHB dan mahu entiti itu kekal sebagai sebuah syarikat awam yang disenaraikan di Bursa Malaysia bagi memastikan ketelusan dan tatakelola yang baik.
“Sebagai “angsa emas” dan juga satu daripada aset strategik negara yang penting, MAHB mesti kekal menjadi milik rakyat Malaysia,” katanya.