KUALA LUMPUR: Kes 22 ahli GISB Holdings Sdn Bhd termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasiruddin Mohd. Ali yang didakwa bagi pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Hakim Mahkamah Sesyen, Lailatul Zuraida Harron @ Harun memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norina Bahaddun.
Sementara itu, peguam bela, Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili kesemua tertuduh tidak membantah dengan permohonan tersebut namun memohon kepada mahkamah supaya Nasiruddin dan isterinya, Azura Md. Yusof ditempatkan ke dalam sel biasa.
“Pasangan suami isteri ini telah dikurung secara berasingan selama sebulan di penjara Sungai Buloh dan penjara Kajang. Namun, pihak kami akan membuat permohonan untuk melucutkan penahanan penjara secara berasingan dan ditempatkan ke dalam sel biasa. Mohon direkodkan di mahkamah.
“Kami akan membuat permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan mendapatkan surat sokongan polis untuk kedua-duanya,” kata Rosli.
Seorang lagi peguam bela, Najib Zakaria berkata pihaknya juga akan membuat permohonan perintah larangan bersuara (gag order) di Mahkamah Tinggi.
“Ini kerana, kes itu tertakluk kepada perbincangan umum bersifat subjudis yang dikhuatiri akan mengganggu perjalanan kes,” kata Najib.
Pada 23 Oktober lalu, Nasiruddin dan Azura didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Selain pasangan itu, turut didakwa ialah Mohammad Adib At-Tarmizi Asa’ari, 32, iaitu anak kepada arwah Asa’ari Muhammad atau lebih dikenali sebagai Abuya yang merupakan pengasas Pertubuhan Al-Arqam yang telah diisytiharkan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Selain itu, turut dituduh di mahkamah ialah Hasnan Abd. Hamid, 53; Mohd. Shukri Mohd. Noor, 53; Mokhtar Tajuddin, 60; Shuhaimi Mohamed, 56; Muhammad Afdaluddin Latif, 34; Mohamad Sayuti Omar, 35; Mohd Fazil Md. Jasin, 57; Mohd. Dhirar Fakhrur Razi, 34; Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 51; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 34, dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 28.
Turut didakwa ialah Hamimah Yakub, 72; Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly,44; Mahani Kasim, 54; Siti Hajar Ismail, 51; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 27; Nurul Jannah Idris, 28; Nur Jannah Omar, 32; dan Siti Salmiah Ismail, 57. – UTUSAN