KUALA LUMPUR: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan peningkatan 21.1 peratus kes amang seksual fizikal melibatkan kanak-kanak dengan 1,389 kes dicatatkan pada 2023 berbanding 1,147 kes pada 2022.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata, kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak menerusi media sosial turut meningkat kepada 525 kes pada 2023 berbanding 360 kes pada tahun sebelumnya.
“Banyak faktor yang mendorong kepada peningkatan kes ini antaranya pemahaman mangsa mengenai seksualiti, privasi dan batasan-batasan yang sihat,” katanya dalam Dewan Negara semalam.
Beliau menjawab soalan Senator Michael Mujah Lihan yang memintanya menyatakan faktor dan statistik peningkatan bilangan kesalahan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak di negara ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, bagi mengatasi perkara ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah melakukan pelbagai usaha antaranya melancarkan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-kanak.
“Program ini merupakan inisiatif KPWKM dalam usaha menangani dan mencegah berlakunya penderaan dan pengabaian kanak-kanak, yang jika serius boleh membawa kepada kematian,” katanya.
Katanya, menerusi program ini, kanak-kanak turut didedahkan mengenai batasan-batasan yang wajar dan sihat, seperti perbezaan antara sentuhan yang dibenarkan (good touch) dan sentuhan yang salah (bad touch).
“Diharap pelaksanaan program advokasi dapat meningkatkan kefahaman semua pihak agar lebih peka terhadap isu kanak-kanak,” jelasnya.