KOTA BHARU: Seorang lelaki terselamat daripada maut selepas kereta jenis Perodua MyVi yang dipandunya merempuh tiang elektrik sebelum terbakar di Jalan Bukit Marak di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar pukul 1.20 pagi itu lelaki tersebut mengalami kecederaan ringan pada bahagian muka dan telah dibawa ke hopsital untuk rawatan lanjut.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Tumboh Pegawai Bomba Kanan II Azman Mohamad Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.21 pagi dan seramai lapan anggota telah ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi pihak kami mendapati kereta MyVi tersebut terbakar dengan peratusan kemusnahan sebanyak 100 peratus selepas melanggar tiang elektrik.
“Orang ramai yang berada di lokasi kejadian telah membantu menghantar pemandu kereta tersebut ke hospital sebelum pihak kami sampai,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Azman memberitahu, operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 2.02 pagi.-UTUSAN