PETALING JAYA: Kerajaan akan terus komited untuk memastikan keselamatan rakyat pada 2025 akan terus dijaga dengan baik.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan pastikan keselamatan rakyat khususnya dalam menghadapi bencana seperti banjir menerusi peranan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi lain.
Kata beliau, keutamaan kerajaan sentiasa tertumpu kepada pengurangan risiko kehilangan nyawa dan harta benda.
“Saya yakin, dengan semangat kerjasama yang kukuh, kita akan terus melakar kejayaan baharu pada tahun 2025. Semoga tahun ini membawa lebih banyak kebahagiaan, kemakmuran dan keberkatan kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Terima kasih atas sokongan yang tidak berbelah bahagi. Selamat Tahun Baharu 2025,” katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebook rasminya, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, 2024 menyaksikan pelbagai kejayaan yang dicapai secara bersama.
“Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, saya amat berbangga dengan usaha kolektif yang telah banyak memberikan kesan positif kepada kesejahteraan rakyat.
“Antara pencapaian utama adalah pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan ekosistem halal yang lebih komprehensif serta kejayaan kita dalam memperkukuhkan infrastruktur luar bandar melalui usaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
“Penambahbaikan kemudahan asas dan penyediaan peluang ekonomi yang lebih luas menjadi teras kepada usaha kita untuk merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar,” katanya.