PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju untuk meneruskan pemberian Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) bagi mana-mana pesara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia juga membabitkan penerima pencen terbitan yang telah menikmati PKKP bagi memastikan mereka menerima amaun lebih tinggi untuk menjaga kebajikan pesara dalam menangani kos sara hidup masa kini.
“Sebagai komitmen bagi menjaga kebajikan pesara dan penerima pencen terbitan, Kerajaan melalui keputusan Jemaah Menteri pada 20 Disember (semalam) telah bersetuju untuk meneruskan pemberian PKKP bagi mana-mana pesara dan penerima pencen terbitan yang menikmati PKKP.
“Ia bagi memastikan mereka menerima amaun yang lebih tinggi untuk menjaga kebajikan pesara dalam menangani kos sara hidup masa kini.
“Ini adalah bukti keprihatinan Kerajaan Madani selaras dengan konsep Ihsan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Anwar, Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuat kuasa 1 Disember lalu turut melibatkan penyelarasan pencen kepada lesara dan penerima pencen terbitan berdasarkan semakan gaji perkhidmatan awam selaras dengan Seksyen 3 Akta Penyelarasan Pencen 1980 (Akta 238).
Katanya, amaun pencen akan diselaraskan berdasarkan peratusan pelarasan gaji ke atas gaji akhir pesara mengikut kumpulan perkhidmatan masing-masing secara berfasa pada 1 Disember dan 1 Januari 2026. – UTUSAN