KANGAR: Kerajaan negeri menyalurkan peruntukan bernilai RM202,868 bagi membantu 628 pesawah yang kawasan tanaman mereka terjejas atau tenggelam akibat banjir pada September dan Oktober lalu.
Bantuan tersebut diberikan mengikut jumlah keluasan tanaman pesawah terlibat yang akan diagihkan bermula 20 Disember ini.
Manakala bagi pesawah yang terlibat dengan bencana banjir baru-baru pula, mereka diminta segera membuat aduan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) selewat-lewatnya sehingga 20 Disember ini.
Pengerusi Pertanian negeri, Razali Saad berkata, para pesawah yang terlibat juga boleh menikmati takaful tanaman padi Agro Bank di mana mereka boleh mendaftar di bank berkenaan bagi mendapat insuran takaful tanaman padi yang ditimpa bencana.
“Kerajaan negeri, Pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan PPK sudah melakukan bancian musibah baru-baru ini. Banjir bukan kehendak kita namun sebagai kerajaan kita mengambil pendekatan menyelesaikan masalah secepat mungkin,” katanya dalam sesi penggulungan Belanjawan Perlis 2025 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Sementara itu, Razali berkata, salah satu punca mengakibatkan banjir adalah kelemahan sistem saliran dan pengairan.
Beliau juga selalu menekankan mengenai kepentingan sistem saliran dan pengairan itu diuruskan dengan sistematik dengan diharap mendapat perhatian kementerian.
“Perlis sedia berbincang dan bekerjasama dengan kementerian bagi merancang dan menilai pembangunan sistem infrastruktur dan saliran berkenaan di negeri ini,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan negeri juga sedang merancang mempunyai kilang pengeluaran benih padi sendiri kerana kemudahan tersebut belum ada di negeri ini.
“Perlis belum ada kilang penghasilan benih padi. Ia amat penting bagi penghasilan benih padi berkualiti yang amat diperlukan petani,” katanya.-UTUSAN