SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengarahkan pihak Ladang SD Guthrie, Sabak Bernam supaya segera memindah dan mengosongkan lebih 1,000 lembu milik penternak yang berkeliaran sehingga mengakibatkan kemalangan maut.
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Rizam Ismail berkata, satu mesyuarat khas diadakan semalam bersama pihak terlibat mengenai isu lembu ternakan yang dibiarkan bebas di tanah ladang itu.
Menurut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar itu, pihak SD Guthrie menyatakan bahawa haiwan berkenaan milik lima hingga enam penternak yang menduduki tanah tersebut secara tidak sah.
“Justeru, satu notis rasmi dikeluarkan kepada penternak itu bagi mengarahkan mereka memindahkan lembu selewat-lewatnya pada 31 Januari depan.
“Jika arahan itu gagal dipatuhi, kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada pihak berkenaan mengikut peraturan ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar, semalam.
Utusan Malaysia pada Februari lalu melaporkan kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas ke atas penternak yang membiarkan ratusan lembu menceroboh kawasan Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.
Haiwan ternakan itu dikesan berkeliaran di dalam hospital itu pada waktu malam sejak sekian lama dan dibiarkan meragut kawasan rumput di tempat larangan tersebut.
Jelas Rizam, isu itu dianggap serius berikutan melibatkan keselamatan penduduk setempat terutama beberapa kes kemalangan sehingga meragut nyawa yang dilaporkan sebelum ini.
“Lebih 1,000 lembu itu dikesan bukan saja menceroboh HTAJ malah berkeliaran di jalan utama dari Bagan Terap ke Sepintas. Keadaan itu jelas menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya sekali gus menimbulkan keresahan penduduk Sabak Bernam,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya mencadangkan lokasi alternatif sementara seperti di Sungai Lang dan Tebuk Jawa bagi menempatkan haiwan ternakan tersebut.
“Selain itu, penternak dinasihatkan memohon tanah berstatus Lesen Pendudukan Sementara (TOL) daripada kerajaan negeri sebagai penyelesaian jangka panjang.
“Kita juga menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang bertanggungjawab memantau aktiviti penternakan di Ladang SD Guthrie,” katanya.
Sehubungan itu, Rizam meminta semua pihak terutama penternak mematuhi peraturan dengan menjaga ternakan menerusi kaedah betul seperti ditambat dan diikat bagi mengelak haiwan berkenaan berkeliaran di kawasan umum.
Pada 23 Oktober lalu, Allahyarham Muhammad Zaidi Muhammad Salihan, 31, maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar seekor lembu di sekitar daerah itu.
Beberapa kemalangan lain melibatkan haiwan itu turut dilaporkan tahun ini termasuk yang terbaharu menimpa sebuah kereta pada 12 November lalu. – UTUSAN