GEORGE TOWN : Kerajaan Pusat bersetuju meluluskan geran padanan berjumlah RM50 juta bagi tempoh lima tahun untuk inisiatif Penang Silicon Design @5km+.
Berita gembira itu diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan program tersebut yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, di sini, hari ini.
Menurut Anwar, inisiatif Penang Silicon Design @5km+ itu adalah satu projek yang membanggakan Pulau Pinang dan mampu melonjakkan kekuatan ekonomi negeri.
“Seperti biasa, Chow (Chow Kon Yeow) merayu sana, merayu sini, tetapi permohonannya tidak banyak.
”Jadi, ini satu inisiatif yang akan letakkan Malaysia sebagai pusat penting semikonduktor di Asia. Permohonannya (Chow) kecil, sekitar RM12 juta setahun, kira-kira RM60 juta (untuk tempoh lima tahun). Kalau saya Ketua Menteri, saya minta RM200 juta.
”Tetapi Chow tahu kekangan kita, maka, saya luluskan RM50 juta (untuk tempoh lima tahun) yang akan bantu memudahkan mereka, kita tidak mahu mereka pening dengan kewangan,” kata Anwar.
Inisiatif Penang Silicon Design @5km+ yang diterajui kerajaan negeri Pulau Pinang menerusi agensi utamanya, InvestPenang, dicipta untuk merevolusikan industri semikonduktor Malaysia dan sejajar sepenuhnya dengan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
Inisiatif baharu ini menandakan satu lonjakan penting ke arah bahagian hadapan rantaian nilai semikonduktor, mempercepatkan revolusi kecerdasan buatan (AI), dan memacu negara ke barisan hadapan dalam inovasi teknologi global.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Pulau Pinang sudah erkenal sebagai pusat semikonduktor sejak sekian lama dan inisiatif Penang Silicon Design @5km+ menjadi satu titik sejarah yang paling penting dalam industri untuk mengangkat Pulau Pinang dan Malaysia menjadi hab semikonduktor global.
“Hari ini, kita maju bertapak-tapak dalam jadikan Malaysia satu hab semikonduktor yang menjurus ke arah rekacipta cip dan daya cipta inovasi,” katanya.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, melihat kepada potensi besar sektor semikonduktor ini, Penang Silicon Design @5km+ diperkenalkan sebagai langkah proaktif untuk melonjakkan kedudukan Pulau Pinang dalam industri reka bentuk litar bersepadu.