KUALA PILAH: Kerajaan kini memberi tumpuan untuk membangunkan kawasan tanah-tanah terbiar yang berkeluasan kira-kira 91,000 hektar di seluruh negara dengan tanaman padi.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia termasuklah di kawasan tanah terbiar yang berada di negeri-negeri luar jelapang padi seperti Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Jelasnya, di negeri-negeri itu sememangnya mempunyai banyak kawasan sawah yang boleh dipulihkan semula selain mempunyai tanah terbiar yang berpotensi untuk diusahakan dengan tanaman makanan ruji tersebut.
“Kita kena anggap sekarang ini bahawa untuk mencukupkan (keperluan) beras ini sebagai yang serius yang mesti kita kena usahakan khususnya untuk mengelakkan kebergantungan kepada beras import, jika apa-apa berlaku kepada negara yang diimport, kita akan hadapi masalah.
“Kita kena usahakan supaya beras kita berada dalam keadaan terjamin dan cukup, ini yang kita tumpu betul-betul dan soal beras ini menjadi keutamaan kita sekarang.
“Antara langkah yang diambil seperti membangunkan sawah di tanah-tanah terbiar di tiga negeri ini dan negeri-negeri lain, menerusi projek tanaman padi lima musim dua tahun dan juga menjadikan negeri Sarawak sebagai kawasan jelapang padi pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan turun padang ke Skim Padi Terachi Batu 14, Kampung Gedang di sini semalam.
Mohamad dalam itu menjelaskan, penanaman padi di negeri-negeri luar jelapang padi juga mesti ditingkatkan kerana mempunyai potensi baik termasuk bagi kaedah tanaman padi lima musim dua tahun.
“Memang ada potensi untuk pelaksanaan lima musim dua tahun ini namun ia bergantung kepada sistem pengairan yang cukup, Jabatan Pertanian Bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang berusaha ke arah itu.
“Jika kita boleh buat separuh daripada kawasan padi di negara ini untuk laksanakan lima kali dua tahun, kita sudah cukup beras.
“Memang untuk infrastruktur tersebut memang memerlukan belanja yang banyak, di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) kita belanjakan hampir RM1 billion di peringkat awal, kalau mahu habis semua di MADA ia akan melibatkan RM5 bilion, ini tidak mengapa kerana ini soal sekuriti dalam hal makanan,” katanya.