SHAH ALAM: Kertas siasatan kematian seorang mahasiswa yang juga pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan dibawa ke Mahkamah Koroner bagi proses inkues.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis sudah pun melengkapkan siasatan tersebut di bawah klasifikasi kematian mengejut (SDR) dan sedang menunggu laporan rasmi dari Hospital Shah Alam (HSA).
“Siasatan itu di bawah SDR. Jadi, kertas siasatan sudah dilengkapkan dan kita tunggu laporan perubatan termasuk bedah siasat dan makmal. Jangkaan serahan bergantung kepada laporan rasmi daripada hospital.
“Siasatan lain berkenaan keterangan dan saksi sudah complete,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuala Langat, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, polis memanggil 34 individu untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan kematian Muhammad Amir Rusyaidi Muhammad Zaidi yang meninggal dunia pada 13 November lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim, kesemua individu yang dipanggil termasuklah jurulatih, pengadu, pegawai perubatan serta penuntut terlibat yang berada di tempat kejadian.
Terdahulu, polis mengesahkan kematian pegawai kadet berkenaan pada 13 November lalu dikenal pasti akibat strok haba dan kegagalan fungsi pelbagai organ.
Mahasiswa berkenaan meninggal dunia selepas tiga hari menerima rawatan sejak dimasukkan ke hospital pada 10 November lalu.
Bagaimanapun, UiTM dalam maklumannya memberitahu pihaknya memandang serius dakwaan tersebut dan menyerahkan kepada polis dan lembaga siasatan di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung kematian mahasiswanya itu.
Jelas universiti itu, pihaknya memberi jaminan untuk bekerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatannya. – UTUSAN