KOTA BHARU: Kelantan melakar sejarah baharu apabila diberi penghormatan untuk menganjurkan Grand Prix (GP) Final Sirkit Remaja Kebangsaan pada Jun tahun hadapan.
Presiden Persatuan Badminton Negeri Kelantan (PBNK), Dr. Naharuddin Hashim berkata, penganjuran sulung itu melibatkan kategori bawah 12, 14 dan 16 tahun.
“Seingat saya belum pernah Kelantan diberikan tanggungjawab menganjurkan GP Final Sirkit Remaja Kebangsaan sebelum ini.
“Ia sememangnya merupakan satu penghormatan kepada negeri dan PBNK sendiri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara PBNK dan Fresh Life Water Resources (M) Sdn. Bhd. di Telipot, di sini hari ini.
Dr. Naharuddin memberitahu, untuk persiapan tempat, PBNK akan bekerjasama dengan Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan serta kerajaan negeri bagi memperkemaskan apa yang perlu dilaksanakan.
“GP Final Sirkit Remaja Kebangsaan adalah kejohanan yang lebih komprehensif dan akan bermula dengan Liga GP Remaja Kebangsaan yang akan berlangsung dalam bentuk siri jelajah bermula Mac hingga April tahun depan.
“Liga GP Remaja Kebangsaan biasanya diadakan dalam dua siri yang mana setiap pasukan dipecahkan kepada dua kumpulan yang akan mengumpul mata bagi melayakkan mereka ke GP Final Sirkit Remaja Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung di PBNK pada Jun tahun depan,” ujarnya.
Dr. Naharuddin berkata, pada kejohanan itu PBNK akan membariskan beberapa prospek terbaik termasuk Kashah Khairul Azlan, 14, yang baru dinobatkan sebagai naib juara bagi kategori bawah 15 tahun pada kejohanan Woncheon Yonex Miryang Korea Junior International Challenge 2024 di Miryang, Korea Selatan pada 25 November hingga 1 Disember lalu.-UTUSAN