KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mendedahkan taksiran kerugian akibat bah yang melanda bermula hujung November lalu telah mencecah lebih RM300 juta setakat ini.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, daripada jumlah itu, kerugian itu melibatkan infrastruktur, sektor pertanian dan rumah milik penduduk.
“Kerosakan melibatkan infrastruktur sudah mencecah lebih RM80 juta. Sektor pertanian pula, kerugian yang dialami mencecah lebih RM30 juta.
“Dalam usaha baik pulih pasca banjir, kerajaan negeri akan akan membantu kerana ia akan membabitkan jumlah kos yang besar. Kita ambil pengalaman daripada bencana bah pada tahun 2014 lalu dan akan lihat siapa layak dibantu oleh kerajaan dan setakat mana kelayakannya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan itu memberitahu, buat masa ini kerajaan negeri telah menyediakan sejumlah peruntukan kepada wakil-wakil rakyatnya untuk digunakan bagi membantu mangsa-mangsa banjir.
“Bantuan untuk kerosakan membabitkan kos yang besar perlu tunggu sehingga habis musim tengkujuh supaya boleh buat penilaian penuh,” katanya..-UTUSAN