PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memperkukuhkan usaha memerangi penyeludupan dadah melalui udara dengan tambahan 66 unit mesin pengimbas di seluruh negara dan 20 ekor Anjing Pengesan Dadah (APD).
JKDM dalam satu kenyataan berkata, langkah tersebut sebagai sebahagian daripada strategi mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang di bawah Bahagian VI, Akta Dadah Berbahaya 1952 (Semakan 1980) (Akta 234).
“Berdasarkan rekod JKDM, sebanyak 135 kes penyeludupan dadah melalui mod udara berjaya ditahan pada tahun 2024.
“Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan 22 peratus atau 24 kes berbanding 111 kes dalam tempoh yang sama pada tahun 2023,” katanya.
Katanya, JKDM juga telah mengadakan perbincangan bersama Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. serta Pengendali Terminal Kargo (CTO) bagi menangani peningkatan kes penyeludupan dadah melalui mod udara seperti mel, kargo dan bungkusan.
“Penggunaan tambahan mesin pengimbas dan APD itu akan memberi kelebihan kepada JKDM dalam mengesan sebarang aktiviti penyeludupan di pintu masuk antarabangsa, termasuk KLIA1 dan KLIA2 yang terletak dalam kawasan Zon Bebas.
“Usaha tersebut akan diperluaskan ke semua pintu masuk utama di negara ini bagi memastikan keselamatan sempadan terus terjamin,” katanya.
Dalam pada itu, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sebagai pihak berkuasa zon bersama CTO yang berdaftar di bawah Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Zon Bebas 1991, turut menyatakan komitmen penuh dalam kerjasama strategik itu.
“JKDM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kesalahan di bawah Akta 234.
“Oleh itu, pihak yang terlibat dalam urusan perdagangan atau pengangkutan dagangan perlu lebih berhati-hati,” katanya. – UTUSAN