SABAK BERNAM: Penganjuran Karnival Ban Canal 2024 anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) menunjukkan komitmen kerajaan negeri memelihara kelestarian hutan sebagai sebahagian daripada biodiversiti di Anjung Utara Selangor.
Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim berkata, kehijauan yang terdapat di Sabak Bernam dan seluruh negeri merupakan hasil daripada dasar moratorium pembalakan yang dilaksanakan sejak 2008 bagi tempoh 25 tahun.
“Sejak 2008, Menteri Besar ketika itu Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersama barisan exco memutuskan untuk mempertahankan khazanah rimba kita supaya tidak diterokai atau diceroboh lagi.
“Akhirnya, kita memilih kelestarian, rimba dan kehijauan di Selangor tidak kurang daripada 30 peratus, itu komitmen kita. Sekarang, angka yang kita ada 31 peratus kehijauan di Selangor kita pertahankan,” katanya ketika berucap pada perasmian penutup Karnival Ban Canal 2024, hari ini.
Karnival Ban Canal 2024 menyasarkan lebih 20,000 pengunjung akhirnya melabuhkan tirainya hari ini selepas berlangsung selama enam hari sejak Selasa lalu.
Pelbagai aktiviti berlangsung sepanjang penganjurannya termasuk jualan hasil tani tempatan, wall climbing, flying fox, larian bendang, Jualan Ehsan Rahmah dan saringan kesihatan percuma.
Dalam pada itu, Suee Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan memberitahu, Karnival Ban Canal 2024 menjadi pembuka tirai bagi Tahun Melawat Selangor 2025 yang menyasarkan kemasukan 8 juta pelancong tempatan dan asing.
“Semua kawasan ini menyumbang kepada keindahan alam sekitar, menawarkan potensi ekopelancongan yang dapat menarik pelancong tempatan dan antarabangsa, seterusnya menjana pendapatan kepada penduduk setempat.
“Kita perlu mengambil peluang ini untuk mempergiatkan lagi usaha-usaha promosi serta pembangunan infrastruktur pelancongan di Sabak Bernam. Saya yakin projek-projek yang dirancang di bawah Wilayah Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) akan menjadi pemangkin kepada lonjakan jumlah pelancong ke daerah itu,” jelasnya. – UTUSAN