Karnival Ban Canal: Keunikan terusan jadi tarikan

Karnival Ban Canal: Keunikan terusan jadi tarikan

Ban Canal
NG Suee Lim menyaksikan perlumbaan akhir Perahu Naga pada Karnival Ban Canal 2024 dekat Parit 14, Simpang Lima di Sabak Bernam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Terusan pada Ban Canal menjadi tarikan yang unik pada Karnival Ban Canal 2024 khususnya bagi peserta-peserta sukan air yang mengharungi cabarannya selama tiga hari sejak Jumaat lalu.

Kapten Pasukan Johor Racing Team, Montoya Raw Michael berkata, Ban Canal amat sesuai untuk diadakan aktiviti seperti sukan air kerana selain suasana hijau di sepanjang 30 kilometer, ia juga mempunyai arus menguji kemampuan pelumba.

“Airnya berarus, namun tenang menjadikan ia amat sesuai untuk aktiviti seperti berkayak atau perahu sama ada secara rekreasi ataupun perlumbaan.

“Selain itu, sebenarnya kami tidak jangka untuk menang kerana, matlamat adalah mencari pengalaman mengayuh di tempat lain. Kerana uniknya di Ban Canal, suasananya hijau berbanding tempat latihan kami di Johor Bahru, kami mengayuh dalam bandar,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, pasukan Johor Racing Team diumum sebagai juara keseluruhan bagi kategori Terbuka Profesional dalam perlumbaan Perahu Naga dan membawa pulang hadiah sebuah piala.

Selain itu, dua lagi pasukan iaitu MOF (Kementerian Kewangan) Ohsem dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) masing-masing memenangi kategori Agensi dan Agensi Tertutup dalam acara yang berlangsung semalam.

Perlumbaan akhir itu dilepaskan Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim pada Majlis Penutup Karnival Ban Canal, hari ini.

Sementara itu, pengurus pasukan MOF Ohsem, Zetti Akmal Abdul Muiz memberitahu, pasukannya menyertai perlumbaan Perahu Naga dan marathon, namun nasib tidak menyebelahi apabila berada pada kedudukan keempat bagi perlumbaan marathon.

“Ini adalah penyertaan kali kedua selain perlumbaan pecut, kami juga sertai marathon yang berlangsung sejak Jumaat. Insya-Allah ada rezeki, tahun depan akan datang lagi ke sini untuk kembali beraksi kerana Ban Canal amat unik, arusnya tenang tetapi menguji kemampuan berbanding tempat biasa kami mengayuh di Putrajaya,” kongsinya.

Bagi pengurus pasukan JPS, Hazam Sef, memberitahu tidak jangka menang bagi kategori agensi tertutup kerana baru pertama kali menyertai pertadingan tersebut pada Karnival Ban Canal.

“Kita biasa beraksi di tempat lain, tetapi ramai cakap Ban Canal kena cuba sebab tempatnya luas dan panjang, airnya tenang tetapi berarus. Tetapi, alhamdulillah rezeki menang. Cuma kayuhan di sini memang mencabar, tetapi mengujakan,” ujarnya.

Selain aktiviti sukan air, turut diadakan pada penghujung penganjuran Karnival Ban Canal adalah Kayak Fishing apabila lebih 20 pengunjung berpeluang memancing di Ban Canal dengan membawa kayak masing-masing.

Ban Canal

Bagi pengunjung tempatan, Shahzudin Ruslan, 30, itu pengalaman pertama memancing secara berkayak di Ban Canal kerana lazim pergi ke kawasan muara sungai atau pantai untuk menangkap ikan.

“Aktiviti itu cuma sekadar hobi dan saya biasa memancing di kawasan air masin, tetapi bila kawan-kawan ajak untuk memancing di Ban Canal kerana ada pertandingan hari ini. Jadi, saya pun datang ke sini bawa kayak, tak sangka dapat tangkap banyak ikan seperti jenis selai dan baung,” katanya.

Karnival Ban Canal 2024 anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) menyasarkan lebih 20,000 pengunjung akhirnya melabuhkan tirainya hari ini selepas berlangsung selama enam hari sejak Selasa lalu.

Pelbagai aktiviti berlangsung sepanjang penganjurannya termasuk jualan hasil tani tempatan, wall climbing, flying fox, larian bendang, Jualan Ehsan Rahmah dan saringan kesihatan percuma.

Selain itu, karnival tersebut menyediakan pameran pelbagai agensi kerajaan negeri dan swasta serta 12 reruai yang menyajikan masakan tempatan seperti pecel dan lontong, punten serta makan laut yang terkenal di Anjung Utara Selangor seperti mentarang, kerang, kepah, siput remis dan tiram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN