SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) meneruskan modul pemulihan akidah kepada lebih 100 anak-anak bekas anggota Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) yang masih tidak dituntut keluarga.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, kesemua kanak-kanak itu masih ditempatkan di rumah kebajikan seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan masih terdapat sebahagian daripada mereka belum dituntut keluarga serta dalam proses pengesahan identiti.
“Namun, kita (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sehingga kini masih meneruskan modul pemulihan khas kepada kanak-kanak itu.
“Kita memfokuskan sepenuhnya kepada aspek agama terutama akidah mereka manakala yang lain diuruskan oleh JKM,” katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan konvoi Bantuan Banjir MAIS, hari ini.
Jelasnya, proses pemulihan akidah itu setakat ini masih berjalan lancar dan menunjukkan perkembangan positif.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan MAIS membangunkan modul khas itu dengan kerjasama JAIS dan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) sejak 1 Oktober lalu.
Seramai 20 guru al-Riqab turut terlibat dalam mengajar di rumah kebajikan berkenaan bagi pemulihan akidah ke atas 261 kanak-kanak yang terlibat dalam isu GISBH.
Minggu lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan lebih 130 kanak-kanak tidak dituntut keluarga berikutan takut tampil menemui pegawai JKM selain berdepan masalah kewangan.
Ada ibu bapa tidak berkemampuan dari segi ekonomi untuk membayar kos peguam untuk menuntut anak-anak di bawah jagaan JKM.
Dalam pada itu, beliau berkata, MAIS memperuntukkan sumbangan berjumlah RM1.06 juta untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Selangor setakat ini.
“Bantuan wang tunai dan barangan makanan asas berjumlah RM598,600 itu diperuntukkan bagi tiga negeri terlibat manakala RM466,800 di negeri ini.
“Kita turut menghantar lebih 100 sukarelawan bagi menyantuni mangsa banjir dan membuat operasi pembersihan di tanah perkuburan Islam dan jalan-jalan utama,” ujarnya. – UTUSAN