MUAR: Keluarga salah seorang tahanan di Kem Teluk Guantanamo yang dibebaskan menunggu penuh harapan kepulangannya ke negara ini selepas 18 tahun tidak bertemu.
Najib Lep, 60, berkata berita kepulangan adiknya Mohammed Nazir Lep, 48, hanya diketahui menerusi media, namun masih belum menerima apa-apa pemakluman rasmi daripada pihak berkaitan.
“Jika benar seperti dikhabarkan, kami amat bersyukur kerana penantian sejak sekian lama akhirnya terlerai dan diharapkan menjadi kenyataan untuk bersatu semula sebagai sebuah keluarga.
“Banyak sangat beritanya, tak tahu yang mana satu, tapi kita tunggu sahaja jika ada rezeki pasti akan dapat bertemu semula.
“Kalau benar, syukur alhamdulillah dan terima kasih Allah,” jawabnya ringkas ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Najib turut berharap adiknya itu dapat tinggal bersama-sama keluarga di daerah ini selepas ‘dikembalikam’ ke negara ini.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan kerajaan Malaysia sudah menerima dua warganegara ini yang ditahan di pusat tahanan Teluk Guantanamo, Cuba selepas diserahkan oleh Amerika Syarikat (AS).
Katanya, keputusan menerima Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin dibuat atas prinsip hak asasi manusia dan dokongan keadilan sejagat. – UTUSAN