TANAH MERAH: Seorang juruteknik elektrik maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah kereta di Lebuhraya Timur-Barat dekat Kampung Air Asahan di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 malam itu mangsa yang berusia 23 tahun itu meninggal dunia semasa sedang menerima rawatan di Hospital Tanah Merah akibat kecederaan di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd. Haki Hasbullah berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian mangsa dalam perjalanan menghala ke Tanah Merah.
“Setiba di lokasi kejadian, sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun yang berada di bahu kiri jalan telah bergerak masuk ke laluan utama.
“Akibanya, mangsa dipercayai tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kiri belakang kereta terbabit seterusnya terjatuh di atas jalan raya, katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.-UTUSAN