PETALING JAYA: Jumlah mangsa banjir di seluruh negara mencatat sedikit penurunan kepada 124,732 orang berbanding 134,175 orang pada pagi tadi.
Angka itu menunjukkan penurunan berbanding lebih 130,000 mangsa direkodkan pagi tadi membabitkan negeri masih yang dilanda banjir iaitu Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Kedah, Perlis, Johor, Perak, Pahang dan Melaka.
Menurut Portal Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 37,399 keluarga ditempatkan di 542 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan negeri.
Kelantan masih mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 77,732 mangsa daripada 23,993 keluarga yang ditempatkan di 215 PPS yang dibuka di sembilan daerah.
Di Terengganu, mangsa banjir direkodkan meningkat sedikit seramai 36,120 berbanding 35,716 orang membabitkan 10,041 keluarga dengan sebanyak 227 PPS melibatkan lapan daerah.
Sementara itu, Kedah mencatatkan 7,375 daripada 2,282 keluarga yang ditempatkan di 42 PPS.
Bagi Pahang pula, sebanyak 25 PPS dibuka untuk menempatkan 1,596 mangsa banjir daripada 524 keluarga yang terjejas antaranya di Raub, Jerantut dan Lipis.
Johor pula merekodkan 846 mangsa banjir daripada 232 keluarga ditempatkan di satu PPS yang dibuka di Segamat.
Di Perak pula meningkat sedikit dengan 544 mangsa banjir daripada 169 keluarga direkodkan dan berada di sembilan PPS yang dibuka.
Manakala Melaka merekodkan penurunan kepada 167 mangsa banjir daripada 44 keluarga ditempatkan di empat PPS yang dibuka di Jasin, Melaka Tengah dan Alor Gajah.
Perlis pula mencatatkan kenaikan seramai 233 mangsa banjir daripada 70 keluarga. Kesemua mereka ditempatkan di satu PPS yang dibuka di Arau.
Negeri terakhir terjejas ialah Negeri Sembilan dengan 61 mangsa daripada 20 keluarga yang ditempatkan di dua PPS.