KOTA BHARU: Keluarga penyanyi wanita sohor Kelantan yang ditahan bersama pil kuda di Golok, Thailand awal November lalu tidak menolak kemungkinan terpaksa menjual tapak rumah sebagai jalan terakhir untuk membiayai kos guaman bagi mengendalikan kes berkenaan.
Salah seorang ahli keluarga yang enggan dikenali mendedahkan, mereka tidak mampu untuk menyediakan wang berjumlah RM1.3 juta atau 10 juta Bath sebagaimana diminta oleh dua peguam dari Thailand.
“Saya terkejut selepas dimaklumkan ada peguam dari Thailand yang menawarkan khidmat itu. Sejujurnya kami tidak mampu dan jumlah tersebut terlalu tinggi.
“Kami bukan dari keluarga berada (kaya) yang mampu mengumpulkan wang sebanyak itu,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, ketika ini mereka hanya mampu berdoa dan meneruskan solat hajat bagi memudahkan urusan penyanyi itu yang sedang menjalani tahanan reman di Penjara Narathiwat.
Terdahulu, media melaporkan, ada dua peguam dari Thailand masing-masing tawar 10 juta Bath (RM1.3 juta) untuk bela kes penyanyi sohor Kelantan yang ditangkap bersama pil kuda di mahkamah.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, penyanyi wanita yang popular dengan lagu-lagu daerah negeri ini ditahan polis Thailand bagi membantu siasatan berkaitan rampasan 6,000 biji pil kuda dalam serbuan di sebuah hotel di Golok, Thailand.
Kesemua individu termasuk penyanyi berusia 20-an itu ditahan dalam serbuan pada pukul 5 pagi waktu tempatan.
Susulan itu, kesemua mereka di reman selama 84 hari atau hampir tiga bulan bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut. – UTUSAN