KOTA BHARU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan sedang merangka pelan tindakan pemulihan melibatkan kawasan hakisan tebing Sungai Kelantan di laluan pejalan kaki yang berlaku semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr. Izani Husin berkata, agensi berkenaan sudah melakukan lawatan di kawasan yang sering menjadi tumpuan penduduk setempat untuk beriadah.
“Lawatan itu bertujuan menilai situasi terkini (lokasi). Selain itu, agensi-agensi lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) juga akan terlibat dalam usaha tindakan susulan bagi memastikan langkah pemulihan dapat dijalankan dengan cekap dan berkesan,” katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman sosial Facebook miliknya hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang itu memberitahu, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak menghampiri laluan itu buat sementara waktu sehingga kerja-kerja pemulihan selesai.-UTUSAN