Jika patuh 'rule of law', Najib pasti diberi kebebasan penuh - PSAP - Utusan Malaysia

Jika patuh ‘rule of law’, Najib pasti diberi kebebasan penuh – PSAP

HASLIHELMY DM ZULHASLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kegagalan mematuhi ‘rule of law’ dan proses perundangan menyebabkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dinafikan hak untuk mendapat keadilan sewajarnya bagi membela dirinya dengan sempurna.

Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, sedangkan sejak mula dibicarakan, bekas Perdana Menteri itu melalui proses perbicaraan dengan sabar walaupun penuh ranjau dan keperitan.

“Saya menyokong penuh kenyataan terbaru Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang menyatakan Najib seharusnya diberikan kebebasan penuh, bukan sekadar menjalani baki hukuman di rumah.

“Dalam soal ini juga, saya dan PSAP masih berpegang kepada kenyataan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang berpendapat bahawa keputusan yang wajar diberikan terhadap Najib adalah dibebas dan dilepaskan kerana berlaku penyelewengan keadilan dan bekas Perdana Menteri itu dinafikan hak untuk mendapat perbicaraan yang adil.

“PSAP konsisten menjunjung ‘rule of law’  dan proses perundangan. Jika patuh kepada prinsip ‘rule of law’, PSAP yakin dan percaya Bossku pasti dibebaskan, tetapi sebaliknya yang berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam satu hantaran di Facebooknya, Nik Mohamad Abduh berpandangan Najib seharusnya diberikan kebebasan penuh, bukan sekadar menjalani baki hukumannya di rumah.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dilaporkan berkata, beliau kekal dan semakin teguh dengan pendirian dia bahawa Najib menghadapi perbicaraan ‘senget’.

Ini kerana, kata pimpinan Pas tersebut, bekas Presiden UMNO itu tidak diberikan haknya untuk membela diri dengan sempurna.

Pada persidangan Dewan Rakyat yang lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan beliau mengemukakan isu Titah Adendum Najib untuk dipertimbangkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan.

Perdana Menteri menjelaskan, Lembaga Pengampunan akan mengambil kira beberapa perkara termasuk perjalanan kes, hukuman, sikap di penjara, khidmat dan jasa serta kepercayaan boleh menyempurnakan tanggungjawab dengan baik sebelum membuat keputusan pada masa yang difikirkan sesuai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN