PORT DICKSON: Sebanyak 99 aduan berhubung buangan sisa terjadual yang dilupuskan secara haram di seluruh negara direkodkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) tahun ini setakat hari ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, daripada jumlah tersebut, didapati 13 kes mempunyai asas kukuh dan telah diambil tindakan penguatkuasaan.
Sehubungan itu, jelas beliau, pihak kementerian dalam proses memperhalusi pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 bagi fasa kedua dalam mengatasi isu buangan sisa terjadual yang dilupuskan secara tidak bertanggungjawab.
“(Sebelum ini) kita sudah buat pindaan akta, dahulu denda maksimum hanyalah RM100,000, sekarang sudah RM10 juta, ada penjara mandatori lima tahun. Pada masa yang sama menuju tahun 2025 ini, kita dalam proses memperkasakan lagi JAS.
“Akta ini asal usulnya pada 1970-an, jadi mungkin ada benda-benda baharu dan cabaran-cabaran baharu yang perlu kita ambil kira dalam perundangan alam sekitar supaya lebih komprehensif dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan ke lokasi pelupusan sisa terjadual secara haram di Bukit Pelandok, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Berkenaan tapak pelupusan sisa haram di Bukit Pelandok itu, Nik Nazmi berkata, aduan berkenaan telah diterima pihak JAS Negeri Sembilan pada bulan Oktober lalu dan hasil siasatan mendapati terdapat dua lokasi yang dijadikan tapak pelupusan haram yang berkedudukan lebih kurang 200 meter antara satu sama lain.
Menurutnya, terdapat sejumlah lebih kurang 800 tong dan tangki intermediate bulk container (IBC) dipercayai mengandungi sisa kimia yang dilupuskan secara haram di kedua-dua lokasi tersebut yang terlindung di sebalik tembok yang berketinggian lebih kurang tiga meter.
“Berdasarkan keputusan analisis sampel buangan yang diperoleh dari Jabatan Kimia Malaysia mendapati buangan yang dilupuskan secara haram tersebut disyaki terdiri daripada cecair yang mengandungi sebatian pelarut terpakai (SW322) serta bahan-bahan pepejal dan bekas yang telah dicemari bahan kimia serta buangan terjadual (SW409),” katanya.
Jelas beliau lagi, proses pemindahan buangan dari lokasi pertama ke tempat penyimpanan sementara telah selesai sepenuhnya dengan bantuan pemilik tanah dan buangan di lokasi kedua dalam proses pembersihan berikutan tiada jalan masuk ke kawasan tersebut.
“Bagi tujuan ini, anggaran kos pembersihan dan pelupusan adalah hampir RM1.2 juta,” katanya sambil menegaskan siasatan masih diteruskan bagi menjejak pelaku dan pemilik buangan tersebut.
Menurut beliau, tindakan tegas terhadap pelaku akan diambil termasuk pendakwaan di mahkamah di bawah Seksyen 34B, AKAS 1974 dan lain-lain seksyen yang berkaitan. -UTUSAN.