'Jangan sampai membunuh kalau tidak puas hati' - Utusan Malaysia

‘Jangan sampai membunuh kalau tidak puas hati’

NORASHIKIN Mohammad menyiram air di atas kubur Shakirin (gambar kecil) yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Pasak, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: “Jangan sampai membunuh kalau tidak puas hati pun, ada cara lain boleh diselesaikan.” 

Itu luahan Norashikin Mohammad, 26, adik kepada lelaki juga mangsa bunuh yang mayatnya ditemukan dalam tempat penyimpanan barang kereta Proton Waja dalam semak di tepi jalan di Kilometer 26, Jalan Jemaluang-Kahang, Mersing, petang semalam.

Kali terakhir abangnya, Shakirin, 28, dilihat pada Rabu lalu ketika sedang mencuci kereta di rumah keluarganya di Felda Pasak, dekat sini.

Abangnya yang merupakan pemandu lori keluar rumah dengan menaiki Proton Waja berkenaan kira-kira pukul 5 petang, tanpa memberitahu pergi ke mana sebelum terus tidak pulang ke rumah.

Walau bagaimanapun, dia sempat melihat status WhatsApp abangnya yang mengemas kini sedang berada di Cameron Highlands, membuatkannya tidak berasa curiga.

“Ayah telefon saya pada sebelah malam, Rabu lalu, minta saya hubungi abang sebab dah malam abang tak pulang rumah. Masa itu tidak curiga apa-apa, rakannya juga memaklumkan baru berjumpa abang. 

“Jadi, memang tidak curiga dia akan terlibat kejadian itu.  Kami memang sedih, tidak boleh terima pemergiannya cara begini, kami mahu keadilan buat arwah,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah abangnya di Tanah Perkuburan Islam Felda Pasak, hari ini.

Dalam pada itu, Norashikin yang tinggal di Pasir Gudang berkata, abang sulungnya itu pernah berkahwin, namun berpisah kira-kira setahun lalu dan tidak mempunyai anak.

Mereka sekeluarga menerima berita penemuan mayat Shakirin petang semalam dan diminta hadir Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) pagi tadi.

“Polis beritahu, abang dipercayai dibunuh di tempat lain, mungkin di Johor Bahru, tetapi kemudian dibawa ke Mersing. Kami tahu abang tiada musuh, tetapi kawan abang ada beritahu abang pernah diugut oleh suspek.

“Difahamkan, suspek adalah bekas suami kepada wanita yang abang sedang kawan. Setahu kami, wanita itu janda, sebab itu kami tak kisah kalau mereka nak berkahwin, tetapi polis maklum pada kami, mereka baharu bercerai bulan ini,” katanya.

Terdahulu jenazah Shakirin  selamat dikebumikan kira-kira pukul 8 malam ini selepas disolatkan di Masjid Felda Pasak dan dihadiri kira-kira 50 ahli keluarga, saudara mara dan rakan-rakan Allahyarham. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya