Jalan Gua Musang-Jeli di Kilometer 35 runtuh

Jalan Gua Musang-Jeli di Kilometer 35 runtuh

PENDUDUK melihat laluan di Kilometer 35, Jalan Gua Musang-Jeli di Gua Musang, Kelantan putus sepenuhnya.-UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Jalan Gua Musang-Jeli di Kilometer 35 di sini, ditutup kepada semua kenderan selepas laluan itu runtuh sepenuhnya susulan hujan lebat melanda kawasan tersebut baru-baru ini.

Runtuhan tanah yang berlaku selama 20 minit bermula pukul 11 malam tadi itu menyebabkan jalan tersebut terputus hubungan.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Jerek, Wan Zahari Wan Harun, 56, berkata, sebelum runtuhan berlaku hujan berterusan menyebabkan air dari pembetung bersebelahan laluan terbabit melimpahi permukaan jalan berkenaan.

“Tidak lama selepas limpahan air dari pembentung surut, tebing jalan mula terhakis sedikit demi sedikit bersama aliran air pembentung sebelum runtuh sepenuhnya dalam tempoh 20 minit.

“Runtuhan dan hakisan tanah itu menyebabkan curam yang dalam,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Wan Zahari memberitahu, jalan itu sudah tidak boleh dilalui walaupun dengan cara berjalan kaki.

“Kami bernasib baik kerana telah mengambil langkah awal menghantar anak-anak untuk tinggal di asrama sekolah terutamanya mereka yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Zain Daud berkata, susulan itu mereka mengambil inisiatif membina laluan sementara bagi menghubungkan semula lapan kampung yang terjejas akibat kejadian jalan runtuh itu.

Katanya, penduduk telah bergotong-royong membuat laluan di lereng bukit berhampiran.

“Kami berpakat dengan bergotong-royong mencangkul dan menebas semak untuk membuka laluan bagi membolehkan penduduk berjalan kaki ke kampung seberang.

“Penduduk yang terkesan dengan kejadian itu antaranya Kampung Meranto, Kampung Dalam Lah, Kampung Atas Bukit dan Kampung Jeram Padang,” ujarnya.

Terdahulu, lebih 3,000 penduduk di lapan buah kampung di sekitar mukim Jerek di sini terjejas apabila Jalan Gua Musang-Jeli yang menjadi penghubung utama mereka runtuh akibat mendapan tanah dan tanah runtuh.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN