SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mengemukakan laporan khas dalam tempoh terdekat berhubung kematian seorang murid akibat renjatan elektrik di sebuah sekolah agama di Serdang, Rabu lalu.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya mengambil maklum dan melaksanakan tindakan segera sejurus kejadian tersebut.
Menurutnya, sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah itu dihentikan serta merta bagi mengelak kemalangan berulang sekali gus memudahkan siasatan dijalankan.
“JAIS bersama beberapa agensi termasuk polis, Suruhanjaya Tenaga (ST) Selangor dan pihak sekolah turun ke lokasi kejadian kelmarin.
“Kita sedang menunggu laporan rasmi siasatan daripada ST mengenai keselamatan bangunan itu dan akan meminta laporan agensi teknikal lain serta polis bagi tindakan lanjut,” katanya hari ini.
Ujar Mohd. Shahzihan, satu laporan khas akan dikemukakan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
“JAIS mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar yang terlibat dalam kejadian berkenaan.
“Kita berharap semua pihak Lembaga Pengurusan Sekolah KAFA atau sekolah agama swasta di aselangor sentiasa memantau perkara yang melibatkan keselamatan guru dan pelajar,” katanya.
Jelas beliau, Sekolah KAFA Integrasi Manbaul ULUM itu merupakan sekolah Islam yang didaftarkan di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988 (Pindaan) 2001 yang ditadbir oleh Lembaga Pengurusan Sekolah.
“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membantu guru agama dan fardu Ain melalui skim guru KAFA manakala kerajaan negeri membantu dalam pemberian buku teks percuma melalui Skim Pinjaman Buku Teks.
“JAIS dipertanggungjawab memastikan murid-murid mengikut kurikulum agama yang ditetapkan dan premis sekolah sentiasa dalam keadaan selamat serta selesa,” katanya.
Tambah beliau, bangunan yang dibina atau disewa adalah tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Utusan Malaysia melaporkan murid lelaki tahun enam maut dipercayai akibat renjatan elektrik di sekolah itu, kira-kira pukul 6.30 petang Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan mengesahkan seorang wanita tempatan berusia 36 tahun tampil membuat laporan polis berkaitan pihaknya menerima pesakit iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.50 petang. Kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). – UTUSAN