KUALA LUMPUR : Institusi pengajian tinggi (IPT) diseru menganjurkan lebih banyak aktiviti persuratan dan kesusasteraan bagi membantu menyuburkan pengembangan bidang tersebut dalam kalangan warga universiti.
Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berharap supaya IPT di seluruh negara dapat mengembangkan aktiviti atau kegiatan berkaitan sastera termasuk penulisan dan penyampaian puisi.
Kata Zaini , puisi dapat menjadi wahana pemikiran dan cetusan kebersamaan dalam mendukung semangat kemanusiaan serta menjadi medium interaksi meluahkan pandangan dan pendapat.
““Peranan puisi ini cukup luas, bukan hanya menjadi saluran untuk meluahkan perasaan dan pendapat malah turut membentuk nilai-nilai murni.
Jika di Barat, mereka yang berada di bidang puisi akan sangat dihormati, mereka menggunakan bahasa yang santun dan tepat dalam meluahkan perasaan dan pendapat serta idea kepada masyarakat,” kata Zaini dalam Program Baca Puisi anjueran Persatuan Pemuisi Nasional (PEMUISI) )ke-16 di Dewan Bahasa dan Pustaka DBP, Kuala Lumpur malam tadi.
Yang turut hadir, Penasihat Kehormat PEMUISI, Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan Sasterawan Negara, Datuk Zurinah Hassan, Presiden PEMUISI, Datuk Dr Radzuan Ibrahim.
Program anjuran (PEMUISI) dan disokong DBP ini kata Zaini amat baik sekali kerana berjaya menghimpunkan individu yang meminati puisi serta menjadi platform untuk menggalakkan lebih ramai golongan profesional turut sama.
Dalam majlis tersebut Zaini turut menerima anugerah Tokoh Pejuang PEMUISI Malaysia atas sumbangan, penulisan dan komitmen menyuburkan puisi dalam kalangan masyarakat.
Beliau yang cukup terkenal dalam dunia akademik, pegawai tadbir dan penerima pelbagai anugerah dalam dan luar negara ini menggunakan saluran puisi untuk menyampaikan mesej dan kritikan sosial untuk membawa perubahan, kefahaman kepada sesuatu isu termasuk pelestarian alam sekitar.
Beliau juga turut berkesempatan untuk menyampaikan sebuah puisi hasil nukilannya sendiri bertajuk ‘Melayu Malu’ dalam kompilasi kumpulan puisi Dari Penjuru Sofa.
Dalam pada itu, Radzuan yang ditanya faktor PEMUISI memberi anugerah tersebut kepada Zaini, beliau berkata , minat dan kecintaan beliau dalam bidang puisi antara faktor bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diberi anugerah tersebut.
“(Oleh kerana) minat yang mendalam dalam bidang puisi, sehinggakan beliau menganjurkan program bacaan puisi di rumahnya, “ ujar Radzuan yang merupakan seorang pengamal undang-undang.