SERDANG: Polis Daerah Serdang hari ini melupuskan sebanyak 352,515 unit barang rampasan dianggarkan bernilai RM1.8 juta.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kesemua barang tersebut melibatkan 336 kertas siasatan yang telah selesai perbicaraan di mahkamah sejak 2016 hingga tahun lalu.
“Pelupusan ini melibatkan lapan buah kenderaan, rokok (353,400 kotak), komputer riba (168 buah), tablet (59 buah), modem dan router (32 buah) serta mesin simulator (14 buah).
“Nilai keseluruhan barangan dilupuskan pada hari ini berjumlah RM1.8 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang hari ini.
Anbalagan berkata, pelupusan barang kes tersebut dilakukan setelah mendapat arahan pelupusan daripada pihak mahkamah.
Katanya, ia juga selaras dengan Kaedah dan Peraturan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN D207) dan di bawah Seksyen 407 (A) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593).
Jelasnya, menerusi pelupusan itu, ia dapat menjimatkan kos penyelenggaraan dan mengatasi masalah ruang simpanan eksibit.
Tegas beliau, pihaknya bertanggungjawab memastikan setiap barang kes dikendalikan dengan amanah, telus dan mengikut peraturan.
“Pelupusan ini adalah langkah akhir dalam memastikan barang-barang yang dirampas tidak lagi memberi kesan negatif kepada masyarakat atau disalah guna,” ujarnya.- UTUSAN