SEREMBAN: Seramai 69 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan dalam satu operasi di sebuah dewan hotel di Nilai, di sini semalam.
Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, kesemua mereka ditahan selepas menghadiri perhimpunan haram yang antara pengisiannya adalah ceramah dan keraian sambutan pra-Krismas.
“Dalam operasi ini seramai 253 orang warganegara asing telah diperiksa dan hasilnya seramai 69 orang terdiri daripada 55 lelaki, dan 14 wanita ditahan termasuk empat orang yang dipercayai dalang utama perhimpunan ini.
“Antara pengisian perhimpunan haram yang dihadiri mereka itu adalah bagi mendengar ceramah dan meraikan sambutan pra-Krismas.
“Kebanyakan mereka bekerja di sekitar bandar Nilai dan ada diantara mereka yang datang dengan bas yang disewa khas dari Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut beliau, semasa serbuan dilakukan, kesemua PATI tidak dapat meloloskan diri kerana kesemua pintu telah dikepung oleh pasukan operasi.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua tahanan ini akan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
“Operasi Ini dilaksanakan berdasarkan aduan dan maklumat orang awam serta tindakan risikan oleh jabatan selama seminggu berdasarkan risalah yang diedarkan,” jelasnya.-UTUSAN.