Hati-hati dengan ‘penyangak’ pelaburan

Hati-hati dengan ‘penyangak’ pelaburan

WAN Zikri Afhtar Ishak dalam sesi pembahasaan Belanjawan Perlis 2025 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di Kangar, Perlis, semalam. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri perlu berhati-hati dengan ‘penyangak’ pelaburan hartanah yang dikhuatiri mengambil kesempatan dengan kemudahan-kemudahan diberikan untuk melabur di Perlis.

Antaranya, pelabur akan diberikan kemudahan melalui inisiatif seperti Kangar Fast Track di Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan Green Lane di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perlis untuk mempercepatkan proses kelulusan dan urusan pelaburan.

Wan Zikri Afhtar Ishak (PN-Tambun Tulang) berkata, kemudahan-kemudahan itu akan menarik minat mereka untuk melabur namun kerajaan negeri juga perlu melakukan tapisan agar mendapat pelaburan berkualiti.

Kelazimannya kata Wan Zikri, pelabur-pelabur hartanah ini sering menggunakan ‘modal’ hendak membantu kerajaan negeri meskipun mereka tidak mendapat apa-apa manfaat.

“Selalunya, pelabur-pelabur hartanah ini modalnya satu saja, saya hendak tolong, tidak dapat apa-apa pun tidak mengapa janji nak tolong kerajaan negeri.

“Tapi, kena hati-hati kerana mereka inilah yang sebenarnya amat berbahaya kerana kesannya nanti berbalik kepada negeri sama ada kehilangan tanah atau aset-aset selain kerugian daripada segi kewangan dan mencemarkan imej negeri.

“Kerajaan negeri kena ada mekanisme atau kaedah-kaedah menapis pelabur-pelabur supaya kita mendapat pelaburan atau pelabur-pelabur yang benar-benar ingin melabur bukan sekadar ingin mendapatkan tanah kemudian buat pinjaman bank dan laksanakan perniagaan tempat lain,” katanya ketika sesi pembahasan Belanjawan Perlis 2025 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Kata Wan Zikri, beliau juga tertarik dengan strategi dalam menarik pelaburan yang dibentang dalam belanjawan semalam.

“Saya mengucapkan tahniah bagi beberapa inisiatif yang mana saya lihat bertujuan merancakkan lagi dan menarik minat pelabur untuk datang melabur di Perlis.

“Saya juga berharap perkara ini dilakukan dengan lebih agresif dan juga bersasar dalam menarik pelaburan ke negeri ini,” katanya.

Sementara itu, dalam pembahasan tersebut, Wan Zikri juga menzahirkan rasa syukur apabila beberapa perkara yang perjuangannya diangkat dalam Belanjawan Perlis 2025.

“Sebagai contoh, temasya sukan Perlis di mana saya dan pihak Majlis Sukan Negeri (MSN) pada masa itu merasakan perlu ada dan alhamdulilah ia diluluskan. Selain itu juga projek menaik taraf pusat latihan angkat berat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin telah juga dimasukkan dalam belanjawan kali ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya