KOTA BHARU: Hakisan tebing Sungai Kelantan menyaksikan laluan pejalan kaki di belakang kawasan kondominium Pelangi Mall di sini runtuh sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peniaga di kawasan berkenaan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kawasan berhampiran lokasi kejadian telah ditutup kepada orang ramai atas tujuan keselamatan.
Seorang peniaga, Fara Sharina Zamari, 36, berkata, runtuhan tebing itu diketahui pada pukul 12.50 tengah hari selepas dimaklumkan oleh pekerjanya.
Katanya, sejurus menerima maklumat itu dia terus bergegas ke lokasi untuk melihat situasi keadaan sekitar yang terletak berhampiran dengan premis perniagaannya.
“Saya terkejut melihat situasi itu kerana inilah kejadian kali pertama sejak berniaga enam tahun lalu.
“Selama saya berniaga lebih kurang enam tahun ia adalah kali pertama kejadian ini berlaku,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Fara Sharina memberitahu, berkemungkinan besar kejadian itu berpunca dari arus deras selain faktor banjir yang melanda kawasan tersebut baru-baru ini.
Katanya, keadaan itu berlaku kemungkinan arus aliran sangat kuat dan ditambah pula banjir baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat ketika dihubungi berkata, pegawai dan anggota polis sudah diarahkan untuk bertugas di kawasan runtuhan selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada peniaga berhampiran kira-kira pukul 1 tengah hari.
Katanya, anggota polis turut mengawal kawasan berkenaan bagi menghalang orang ramai daripada berkumpul di situ.
“Garisan kuning turut dipasang di kawasan runtuhan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku melibatkan orang ramai,” ujarnya.-UTUSAN