SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru hakim syarie di Mahkamah Syariah di seluruh negara supaya berani bertindak tegas dalam membuat keputusan atau penghakiman.
Ini kerana ketegasan hakim Mahkamah Syariah adalah perlu bagi mengatasi pihak yang cuba mempertikai bidang kuasanya dengan membawa persoalan undang-undangnya kepada tafsiran di mahkamah sivil.
Baginda bertitah, hakim syarie perlu sentiasa berpegang kepada prinsip keadilan menurut Islam selaras dengan seruan Allah SWT yang menyeru kepada para hakim yang dilantik supaya menjauhi kezaliman dan menegakkan keadilan.
“Seorang Hakim Syarie perlu mempunyai sikap yang tegas dan berani dalam membuat sesuatu penghakiman tanpa merasa takut bahawa sesuatu keputusan yang dibuat akan dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
“Walaupun sejak kebelakangan ini, terdapat pihak yang cuba mempertikai bidang kuasa dan keputusan Mahkamah Syariah dengan membawa persoalan undang-undang untuk tafsiran mahkamah Sivil, namun ia tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk hakim syarie berasa ‘takut’ atau ‘bimbang’ untuk memberikan penghakiman yang adil,” titah baginda pada Istiadat Menyembahkan Air Doa Selamat di Istana Bukit Kayangan, hari ini.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menasihatkan hakim syarie supaya sentiasa peka dengan perkembangan undang-undang semasa khususnya Perlembagaan Persekutuan yang turut bersangkutan dengan pentadbiran Islam negeri.
“Hakim syarie perlu memastikan agar tidak berlaku sebarang kelewatan yang tidak munasabah dalam mengendali dan membuat sesuatu keputusan sehingga boleh menjejaskan hak dan kebajikan mereka yang terlibat di dalam sesuatu prosiding mahkamah.
“Beta ingin berpesan agar hakim syarie sentiasa bersedia dan melengkapkan diri dengan segala kemahiran perundangan dan hukum syarak untuk memperkasakan kehakiman Islam,” ujar baginda.
Tambah baginda berkaitan dengan pengurusan perkahwinan orang Islam di Selangor, setiap Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Orang Islam yang dilantik juga perlu menjalankan amanah dalam menguruskan perkahwinan orang Islam.
“Pengurusan pendaftaran perkahwinan orang Islam amat penting untuk menjaga dan memelihara nasab umat Islam khususnya di Selangor. Justeru, pendaftar hendaklah sentiasa mengamalkan integriti yang tinggi dan tidak terlibat sama sekali dalam aktiviti pernikahan sindiket yang semakin berleluasa sekarang ini,” tegas baginda.
Terdahulu, dalam istiadat tersebut, Sultan Sharafuddin berkenan mengurniakan watikah pelantikan Orang Besar Istana Selangor kepada Raja Dato’ Reza Raja Dato’ Zaib Shah Alhaj yang berkuat kuasa bermula hari ini.
Selain itu, baginda turut berkenan mengurniakan watikan pelantikan Anggota Panel Tetap Kehakiman Syariah kepada Panel Tetap Hakim Mahkamah Rayuan Negeri Selangor, Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman.
Sultan Selangor turut mengurniakan watikah pelantikan Anggota Jawatankuasa Fatwa kepada Prof. Dr. Ashraf Bin Md Hashim serta Pendaftar Kanan dan Pendaftar Wali Raja masing-masing kepada Mohd Farid Hadi Sharif dan Mohammad Khair Zainal serta Mohd Zainudin Wan Yusoff dan Mohd Anuar Baharudin. – UTUSAN