BENTONG: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bentong mencadangkan Pendaftar Pertubuhan Peladang dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menghadkan usia jawatan pengerusi dan ahli jemaah pengarah (AJP) pertubuhan peladang sehingga 75 tahun.
Ia membabitkan jawatan pengerusi dan ahli AJP peringkat Pertubuhan Peladang Kebangsaan, Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan PPK.
Pengerusi AJP PPK Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh, 66, berkata, perkara itu dibangkitkan kerana terdapat ura-ura usia bagi jawatan tersebut akan ditetapkan tidak melebihi 70 tahun.
“Usia 70 tahun ini dilihat masih ideal dan rasional untuk seseorang pengerusi dan ahli berkhidmat. Apa yang penting mereka masih diberikan kesihatan yang baik dan masih mampu menyumbang tenaga dan kemahiran.
“Jadi, PPK Kawasan Bentong yang bermesyuarat hari ini meminta pertimbangan pihak Pendaftar Pertubuhan Peladang dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan supaya menghadkan usia pengerusi AJP sehingga 75 tahun,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Selain itu, Mohamad Zaini yang juga AJP Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa) berkata, PPK Bentong juga berharap AJP di semua peringkat yang dipilih perlu melebihi lantikan menteri pada pemilihan akan datang.
“Ini penting bagi memberi ruang dan peluang kepada peladang menikmati proses demokrasi dalam pertubuhan peladang, bukan sepenuhnya dikuasai lantikan menteri,” katanya.
Menurutnya, PPK Bentong juga meminta pertimbangan Pendaftar Pertubuhan Peladang supaya tidak menangguhkan terlalu lama Mesyuarat Agung Unit Peladang yang sepatutnya diadakan pada Januari 2025.
“Kita mendapat makluman bahawa, mesyuarat tersebut ditangguhkan oleh pihak pendaftar kepada suatu masa yang belum ditetapkan.
“Kita harap penangguhan itu tidak terlalu lama kerana kita perlu segera bermesyuarat bagi membincangkan isu-isu yang berlaku dalam pertubuhan peladang ketika ini,” ujarnya. – UTUSAN