Golf: Amalan zikir jadi 'kunci' Muhammad Afham buru kedudukan lima terbaik di kejohanan Piala Dunia Remaja

Golf: Amalan zikir jadi ‘kunci’ Muhammad Afham buru kedudukan lima terbaik di kejohanan Piala Dunia Remaja

MUHAMMAD Afham Othman (kiri) menerima kata-kata semangat daripada Zamakhshari Muhammad pada majlis meraikan kejayaannya sebagai wakil tunggal negara ke kejohanan Piala Dunia Remaja di Florida, Amerika Syarikat di Kota Bharu, Kelantan semalam. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pemain golf muda negara, Muhammad Afham Othman, 13, menjadikan amalan zikir sebagai ‘kunci’ buatnya untuk kekal fokus dan tenang sekali gus memburu kedudukan terbaik pada kejohanan Piala Dunia Remaja 2025 yang bakal berlangsung di Florida, Amerika Syarikat bermula 3 Januari depan.

Muhammad Afham berkata, amalan zikir yang dipelajari semasa menuntut di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam Al-Furqan mampu membuatkan terus kekal fokus.

Menurutnya, selain persediaan rohani dia sudah menjalani latihan yang ketat selepas waktu persekolahan tamat bermula pukul 4.30 petang sehingga pukul 7.30 malam setiap hari.

“Kali pertama kejohanan peringkat dunia, perasaan gugup dan gementar itu ada. Alhamduliullah, persediaan sayasudah mencapai 85 peratus pada ketika ini.

“Kalau boleh memang mahu gapai kejuaraan pada kejohanan tersebut, namun saya perlu realistik kerana ia akan dibarisi oleh pemain-pemain terbaik dari seluruh dunia. Tambahan pulan saya merupakan peserta termuda bagi kategori bawah 14 tahun,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis meraikan kejayaannya mewakili negara ke kejohanan berkenaan, di sini semalam.

Terdahulu, bekas pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Wangi, Gua Musang itu menerima sumbangan RM40,000 daripada Kelab Golf Do Re Mi dan RM15,000 daripada Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhammad.

Muhammad Afham yang kini berada di bawah asuhan tiga jurulatih, iaitu Dinie Zaki (Malaysia), Yusuf Raidhan (Afrika Selatan) dan Travis Vin Dijk (United Kingdom) bakal berlepas ke Amerika Syarikat (AS) pada 25 Disember ini.

Katanya, dia akan berada selama 13 hari di negara berkenaan dan akan mengikuti kem latihan sebelum tiba hari kejohanan yang akan berlangsung selama tiga hari.

“Untuk kejohanan kali ini setiap peserta perlu melengkapkan 27 lubang sehari dan saingan pasti sengit kerana semua peserta adalah dari kalangan terbaik di negara masing-masing. Saya merupakan peserta tunggal dari Malaysia dalam kejohanan ini,” ujarnya,

Muhammad Afham sebelum ini, pernah merangkul gelaran juara acara golf bawah 12 tahun pada kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2023 itu turut menyatakan hasrat untuk mewakili Kelantan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 sekiranya diberikan ruang.

“Kalau mewakili SUKMA mestilah mewakili Kelantan tetapi untuk MSSM tahun depan saya akan mewakili Negeri Sembilan kerana bersekolah di sana. Hasrat mewakili negeri ini memang ada sekiranya diberikan ruang.

“Jika berpeluang untuk bertanding pada temasya dwi tahunan itu, sudah pasti saya berhasrat untuk menggenggam kilauan emas demi membanggakan negeri kelahiran saya ini (Kelantan),” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya